English

Fahami Insurans/Takaful Perubatan dan Kesihatan dengan Mudah

Inisiatif oleh FEN

Apakah produk insurans/takaful perubatan dan kesihatan (medical and health insurance/takaful, MHIT)?

Produk MHIT memberi perlindungan terhadap kos perubatan seperti kemasukan ke hospital, ubat-ubatan, rawatan dan bayaran pampasan untuk penyakit kritikal, sama ada melalui tuntutan, bayaran sekali gus atau elaun kemasukan ke hospital.

Dengan MHIT, kos perubatan anda akan ditanggung sehingga had tertentu, melindungi anda daripada perbelanjaan perubatan yang tinggi dan tidak dijangka.

Insurans premium* yang dibayar akan dikumpulkan untuk menampung kos perubatan pemegang polisi.

Premium anda mungkin disemak semula secara tahunan menurut profil risiko individu seperti umur, sejarah perubatan, risiko pekerjaan dan faktor gaya hidup, dengan mengambil kira perubahan dalam kos rawatan perubatan. Pemegang polisi yang berisiko lebih tinggi akan membayar premium yang lebih tinggi untuk mencerminkan kebarangkalian dan jumlah tuntutan yang mungkin dibuat. Justeru itu, premium anda akan meningkat seiring dengan usia.

*Ataupun sumbangan takaful

Pengumpulan Risiko:

Premium anda akan dikumpulkan bersama dana pemegang polisi lain untuk membayar sebarang tuntutan. Jika jumlah tuntutan yang dibayar daripada dana tersebut melebihi jangkaan, premium untuk semua pemegang polisi mungkin meningkat, meskipun anda tidak membuat sebarang tuntutan.

Penetapan Premium

Risiko rendah:

RM200/bulan

Risiko sederhana:

RM250/bulan

Risiko tinggi:

RM300/bulan

E
Pengumpulan Risiko

Pengumpulan Risiko:
Jumlah RM10,000 dalam kumpulan risiko berdasarkan jangkaan awal untuk kos tuntutan sebanyak RM9,000 dan RM1,000 untuk perbelanjaan lain

E
Pembayaran Tuntutan

Jumlah pembayaran tuntutan daripada dana yang dikumpulkan mungkin melebihi RM10,000

Apa yang perlu saya lakukan sebelum membeli produk MHIT?

Kenali ABC pembelian produk MHIT:

A

Anggar keperluan anda dan tanya soalan yang tepat

B

Bandingkan pilihan

C

Cari pilihan yang bersesuaian daripada pilihan yang tersedia

Apa yang perlu saya pertimbangkan sebelum membeli produk MHIT?

p
Keadaan kewangan
  • Berapakah peruntukan yang saya ada?
  • Adakah saya mampu menanggung kenaikan premium pada masa hadapan?
  • Adakah saya sudah mempunyai perlindungan MHIT daripada majikan saya?
p
Keadaan peribadi
  • Adakah saya mempunyai tanggungan yang bergantung pada saya?
  • Apakah perbelanjaan yang tidak mampu saya bayar sendiri dan perlu dilindungi oleh MHIT?
p
Sejarah perubatan
  • Adakah saya mempunyai masalah kesihatan sedia ada?
  • Bagaimana pula dengan sejarah perubatan keluarga saya?

Apa yang saya boleh jangkakan daripada ejen insurans/takaful saya?

p
Memahami situasi, keperluan dan keutamaan saya sebelum memberi nasihat atau mencadangkan sebarang produk
p

Sediakan lembaran penzahiran produk (product disclosure sheet) dan butiran penting lain (seperti pilihan produk alternatif, fi dan caj) sebelum saya membeli produk MHIT

p

Terangkan dalam bahasa yang mudah, faktor-faktor utama yang mempengaruhi premium saya seperti inflasi kos perubatan dan peningkatan umur

p

Nasihatkan saya untuk membaca dan mempertimbangkan maklumat serta penjelasan yang diberikan

p

Berikan masa yang mencukupi untuk saya membaca dan memahami maklumat sebelum membuat pembelian

Apakah yang perlu saya tanya kepada ejen insurans/takaful saya?

p

Adakah produk MHIT ini sesuai dan memenuhi  keperluan saya? 

  • Jenis-jenis produk MHIT
  • Ciri-ciri utama seperti perlindungan, proses tuntutan, had dan lain-lain
p

Bagaimanakah premium saya akan berubah apabila usia saya semakin meningkat?

  • Peningkatan premium mengikut kumpulan umur
  • Inflasi perubatan
p
Apakah perkara lain yang saya perlu ambil maklum?

  • Struktur pembayaran
  • Tempoh menunggu

Ketahui 4 jenis produk MHIT utama

Kemasukan ke hospital dan pembedahan

Menanggung kos perubatan anda untuk kemasukan ke hospital atau pembedahan serta rawatan pesakit luar tertentu yang dilindungi

Penyakit kritikal

Memberikan manfaat pampasan sekali gus jika anda didiagnos dengan kondisi yang dilindungi. Kondisi yang dilindungi berbeza mengikut produk

Penjagaan jangka panjang

Termasuk manfaat penjagaan lanjutan seperti kos rumah penjagaan serta penjagaan untuk penyakit kronik dan kurang upaya

 Pendapatan gantian hospital

Pampasan wang bagi setiap hari anda dimasukkan ke hospital akibat penyakit atau kecederaan yang dilindungi, tertakluk kepada jumlah hari yang ditetapkan

Pernah dengar produk MHIT dengan ciri pembayaran bersama?

Kenapa pilih ciri pembayaran bersama?

  • Produk MHIT dengan ciri pembayaran bersama mempunyai premium yang lebih rendah berbanding dengan produk lain yang setara tanpa ciri ini.
  • Kemungkinan pelarasan premium yang kurang kerap dan lebih rendah dalam jangka panjang kerana ciri ini menggalakkan penggunaan dan preskripsi perkhidmatan penjagaan kesihatan secara lebih bertanggungjawab.
  • ITO mungkin mengetepikan bahagian pembayaran bersama anda dalam keadaan tertentu. Pastikan anda mengetahui syarat-syarat yang bermanfaat kepada anda ini!

Ketika membeli produk MHIT dengan ciri pembayaran bersama, anda perlu pertimbangkan sama ada anda mampu membayar bahagian anda dan sama ada anda mempunyai perlindungan alternatif, seperti perlindungan insurans daripada majikan anda. Pilihan anda perlu berdasarkan situasi kewangan dan kemampuan anda untuk membiayai bahagian perbelanjaan perubatan ini.

Baca dan fahamkan lembaran penzahiran produk (product disclosure sheet, PDS)

Apabila mempertimbangkan produk MHIT, anda perlu mengetahui dengan jelas apa yang anda akan beli. PDS akan membantu memberikan maklumat penting untuk memudahkan anda memilih produk MHIT yang sesuai dengan keperluan.

Ingat, jika anda mempunyai sebarang pertanyaan, sila bertanya ITO atau ejen anda — mereka akan membantu anda memahami produk dengan lebih baik. Anda dinasihatkan untuk mendapatkan PDS. PDS mengandungi maklumat terperinci yang anda perlu pertimbangkan untuk membuat keputusan yang bijak. Luangkan masa untuk meneliti PDS dan memilih produk yang paling sesuai dengan keperluan anda.

Langkah dan tip praktikal untuk membantu anda membuat keputusan 

Tinjau dan bandingkan pelbagai produk MHIT

Pertimbangkan ciri-ciri utama yang ditawarkan termasuk had perlindungan, manfaat yang dibayar, kebolehan untuk diperbaharui, pengecualian dan tempoh menunggu.

Ketahui kos dan buat pilihan dengan bijak

Selain premium, anda juga perlu membayar sebahagian daripada bil jika anda memilih produk dengan ciri pembayaran bersama. Semasa membandingkan produk, anda perlu mempertimbangkan jika anda mampu membayar premium dan membuat pembayaran bersama dalam jangka masa panjang.

Semak rangkaian penyedia perubatan

Semak senarai hospital panel dan cara mendapatkan rujukan, jika diperlukan.

Baca terma dan syarat

Pastikan anda membaca terma dan syarat dengan teliti. Fahami tempoh perlindungan polisi anda, cara memperbaharuinya, dan kaedah pembatalan atau mengubah polisi. Pastikan anda memahami butiran perlindungan dan penilaian kelayakan tuntutan oleh ITO, supaya anda faham tentang proses apabila tuntutan dibuat.

Apakah maklumat yang terdapat dalam lembaran penzahiran produk?

NamaProduk IProduk IIProduk III
Premium tahunanRM2,400RM1,800RM2,000
Jenis pembayaranKemudahan tanpa tunaiKemudahan tanpa tunaiBayar dahulu, tuntut kemudian
Tempoh perlindunganSehingga umur 70 tahunSehingga umur 70 tahunSehingga umur 70 tahun
Pembayaran bersamaTiada pembayaran bersamaPotongan RM500 setiap tahun polisi/sijil10% insurans/takaful bersama setiap tahun polisi/sijil
Had maksimum untuk bilik dan penginapan hospitalRM150 sehariRM200 sehariRM150 sehari
Perbelanjaan pembedahanSeperti yang dicaj
Had tahunanRM100,000RM80,000RM100,000
Had sepanjang hayatRM1,000,000RM800,000RM1,000,000

Nota: Jadual ini bertujuan sebagai panduan sahaja dan tidak merangkumi semua ciri produk insurans/takaful kemasukan ke hospital dan pembedahan. Sila rujuk ITO atau ejen anda untuk maklumat lanjut mengenai perbezaan ciri-ciri produk yang ditawarkan dan rujuk kontrak polisi/sijil anda.

Apa yang perlu anda tahu tentang membuat tuntutan?

K

Ketahui proses tuntutan anda

Tuntut dengan Yakin

Jatuh sakit sudah cukup membebankan. Proses menuntut manfaat perubatan seharusnya mudah dan tidak rumit. Luangkan masa untuk memahami perlindungan anda dan proses tuntutan lebih awal bagi mengelakkan kelewatan serta mendapatkan sokongan yang tepat apabila anda paling memerlukannya. Pelan perubatan dan kesihatan akan membantu anda membayar bil perubatan, tetapi anda mungkin masih perlu menanggung sebahagian kos. Panduan ini menerangkan cara untuk menguruskan tuntutan MHIT anda dengan lancar.

Semak

Pertimbangkan ciri-ciri utama dalam polisi anda termasuk had perlindungan, manfaat yang boleh dituntut, tahap boleh diperbaharui, pengecualian dan tempoh menunggu.

Semak dengan doktor, hospital, ejen atau ITO anda sama ada pelan rawatan, terutamanya pilihan rawatan yang baharu atau jarang digunakan, termasuk dalam polisi anda.

JELAS

Selepas doktor menerangkan tentang pelan rawatan anda, luangkan masa untuk memahami cara anda boleh membiayai bil perubatan Minta penjelasan lanjut berkaitan pilihan rawatan dengan doktor jika anda menjangkakan kesukaran untuk membayar rawatan sendiri. Langkah ini membantu anda mengelakkan kejutan kewangan dan membuat pilihan pembayaran yang paling sesuai untuk situasi anda, sama ada melalui insurans kesihatan peribadi, manfaat perubatan majikan atau simpanan peribadi.

Penting untuk memahami sama ada polisi anda menawarkan kemudahan tanpa tunai (ITO membayar terus kepada hospital) atau bayar dahulu, tuntut kemudian (anda bayar dahulu dan ITO akan membayar balik kepada anda kemudian). Kaedah pembayaran penting kerana kaedah ini akan menentukan jumlah wang yang perlu anda sediakan terlebih dahulu bagi mengelakkan kejutan kewangan. Jika anda tidak pasti, sila hubungi ejen/ITO anda atau bertanya di kaunter kemasukan hospital.

Tuntut

Hospital akan mengeluarkan bil untuk keseluruhan kos rawatan, selepas rawatan anda selesai.

Ambil perhatian bahawa jumlah ini mungkin termasuk item yang tidak boleh dituntut di bawah polisi anda. Jika polisi anda mempunyai ciri pembayaran bersama (co-payment), anda akan berkongsi sebahagian kos dengan ITO. Pembayaran bersama dikenakan tanpa mengira kaedah pembayaran.

Maklumat Penting

  1. Semak bil hospital anda dengan teliti untuk memastikan semua caj diperincikan dan berpatutan. Jika ITO anda menyenaraikan item yang tidak boleh dituntut, anda tidak sepatutnya membayar item tersebut kecuali item itu merupakan prosedur atau perkhidmatan yang telah dipersetujui.
  2. Pastikan perkara yang berikut untuk kaedah bayar dahulu, tuntut kemudian:
    • Semak laman web ITO anda atau hubungi ejen mengenai dokumen yang perlu dihantar (bil terperinci, laporan perubatan sokongan) dan pastikan anda mendapatkan dokumen lengkap daripada hospital selepas discaj.
    • Hantar tuntutan anda secepat mungkin.
    • Pantau status tuntutan anda.

Ketahui hak anda dan langkah untuk membuat aduan

Jika tuntutan anda ditangguhkan, dipertikaikan atau ditolak:

  • Minta penjelasan daripada ITO atau ejen anda
  • Anda atau ejen anda boleh membuat rayuan
  • Buat aduan rasmi kepada Unit Aduan ITO anda

Jika anda tidak berpuas hati dengan maklum balas ITO anda atau tidak dapat menyelesaikan isu dengan mereka, anda boleh menghubungi Perkhidmatan Ombudsman Pasaran Kewangan (Financial Market Ombudsman Service, FMOS (https://www.fmos.org.my/en/our-scope/) atau BNMLINK (https://bnm.gov.my/contact-us/BNMLINK)