Gambaran Keseluruhan Kaji Selidik FCI 2024
Kaji Selidik Keupayaan dan Rangkuman Kewangan dari Segi Permintaan (Financial Capability and Inclusion Demand Side Survey, FCI) merupakan kaji selidik merentas seksyen yang dijalankan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) setiap tiga tahun. Kajian ini menilai tahap keupayaan kewangan rakyat Malaysia dengan mengukur tahap pengetahuan, tingkah laku dan sikap kewangan bagi mendapatkan skor gabungan yang dikenali sebagai Indeks Celik dan Keupayaan Kewangan Malaysia (Malaysia Financial Literacy and Capability Index, MYFLIC). Apabila melaksanakan kaji selidik ini, BNM turut mengambil kira faktor-faktor dan perkembangan penting bagi setiap tempoh kaji selidik.
Contohnya, Kaji Selidik FCI tahun 2021 bukan sahaja menilai tahap keupayaan kewangan rakyat Malaysia tetapi turut merangkumi kesan pandemik COVID-19 serta langkah dan bantuan yang dilaksanakan. Skop Kaji Selidik FCI tahun 2024 yang dijalankan pada suku ketiga tahun 2024 telah diperluaskan bagi meliputi penilaian terhadap kesejahteraan kewangan dan celik kewangan digital. Hal ini kerana isu seperti kenaikan kos sara hidup dan pertumbuhan pesat pendigitalan semakin memberikan kesan penting pada tingkah laku kewangan rakyat Malaysia semasa tempoh kaji selidik.
Kaji selidik ini juga menilai keupayaan kewangan rakyat Malaysia susulan pelaksanaan Strategi Literasi Kewangan Kebangsaan 2019-2023 (NS1.0), sekali gus mendedahkan cabaran serta peluang baharu dalam usaha membina daya tahan kewangan pada masa hadapan.